Skip to main content

‘Chong Wei, Misbun buat perhitungan’

ADAKAH rajuk Datuk Misbun Sidek sudah berakhir dan kembali membimbing semula jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei?

Persoalan itu menjelma selepas pemain nombor satu dunia itu dikatakan akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang gurunya itu pada program amal ‘Hope n Smile’ bagi mengutip dana membantu mangsa gempa bumi dan tsunami Jepun di Pulau Pinang, Sabtu ini.
Dalam jadual program yang dihantar menerusi emel semalam, Chong Wei yang juga penganjur program amal itu akan menentang mentornya di Dewan Tunku Geodesi Dome, Komtar pada jam 6 petang.
Begitupun, penganjur kemudian menghantar satu lagi emel dan memohon maaf dengan memberitahu perlawanan persahabatan antara ‘guru dan murid’ itu belum dapat dipastikan lagi.

Sementara itu, eksekutif kanan projek amal itu, Sophia Tan berkata pihaknya akan mengesahkan sama ada perlawanan persahabatan antara Chong Wei dan Misbun itu akan diadakan atau tidak hari ini.

“Kami akan membuat pengesahan semula esok (hari ini),” katanya.

“Bagaimanapun, perlawanan persahabatan antara Chong Wei dan rakan baiknya, Taufik Hidayat di Stadium Juara, Ahad ini (3 April) tetap berlangsung mengikut jadual,” katanya.
Katanya, pihaknya berharap orang ramai datang beramai-ramai bagi memeriahkan program untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM1 juta itu bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda negara matahari terbit itu.

Pada program itu, Chong Wei juga akan melelong raket, kasut dan pakaian yang digunakan ketika mempertahankan kejuaraan Seluruh England, baru-baru ini.



Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
2011/03/31





Comments