KUALA LUMPUR - Persekutuan Badminton Melayu Malaysia (PBMM) perlu membuka lembaran baru dalam usaha meningkatkan prestij penganjuran Kejohanan Badminton Melayu Malaysia 2011 pada masa depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, kejohanan tersebut boleh dijadikan platfrom untuk melahirkan lebih ramai pemain badminton Melayu yang berbakat dan mampu memberikan saingan pada peringkat yang lebih tinggi.
"Sebelum mencapai ke peringkat itu, PBMM perlu melakukan perubahan terutamanya dalam soal pengurusan sesebuah kejohanan.
"Selain itu bagaimana untuk kita mencari pasaran yang lebih baik agar kejohanan yang dianjurkan menerima sambutan yang positif daripada pelbagai pihak," katanya.
Beliau melancarkan Kejohanan Badminton Melayu Malaysia 2011 Piala DYMM Sultan-Sultan dan Raja-Raja Yang ke-53 yang bermula 21 hingga 25 September ini di sini, semalam.
Menurut Razali, untuk menjadikan ia lebih kompetitif, PBMM boleh mengambil inisiatif dengan menganjurkan kejohanan siri badminton terbuka yang turut membabitkan penyertaan bangsa lain.
Jelasnya, tidak salah jika PBMM mahu mengundang akademi-akademi badminton luar untuk menyertai kejohanan tersebut yang mungkin boleh dijadikan sebagai medan bagi melahirkan pemain-pemain muda berbakat.
"Tidak kira siapa yang bakal menang kerana apa yang penting kejohanan itu kelak lebih bersifat kompetitif, berkualiti dan mampu menarik pembabitan syarikat-syarikat korporat sebagai penaja," ujarnya.
Beliau memberitahu, penyertaan pasukan dari negara jiran seperti dari Jakarta dan Medan, Indonesia serta Singapura membuktikan kejohanan yang telah memasuki usia 53 tahun itu mampu menarik peserta-peserta dari luar.
"Saya harap PBMM berusaha lebih gigih lagi untuk menarik penyertaan lebih ramai dalam kejohanan ini khususnya pemain peringkat negeri," katanya.
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
Comments
Post a Comment