Kuala Lumpur: “Satu kerugian besar”.
Reaksi itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk
Seri Zolkples Embong susulan kegagalan skuad bola sepak negara tidak
tersenarai ke Sukan Perpaduan Islam di Palembang bulan depan.Kedudukan ranking bola sepak negara yang kini dikedudukan 162 dunia menyebabkan Malaysia tersisih dan tidak layak selepas peraturan Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) menetapkan hanya 12 negara terbaik mengikut ranking FIFA layak bersaing.
“Bagi saya ia satu kerugian. Tiada apa yang boleh kita lakukan kerana mereka gunakan kedudukan ranking FIFA, sebab itu sejak dulu lagi saya tekankan ranking penting,” kata Zolkples.
Tambahnya, peluang menentang pasukan lebih baik seperti Mesir, Algeria, Tunisia selain pasukan Asia Barat amat bagus kepada pembangunan bola sepak negara.
“Saya ingat jika kedudukan ranking ke-100 pada masa depan kita akan layak. Namun pada masa ini, amat rugi kita tidak dapat beraksi,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi bekas pemain negara, Khalid Ali yang menggesa usaha mempertingkatkan ranking perlu dipergiatkan lagi bagi membuka peluang skuad negara beraksi dalam kejohanan seperti ini.
“Bagi saya Sukan Perpaduan Islam ini menghimpunkan pelbagai negara benua ini sama seperti kelayakan zon Asia Piala Dunia,” katanya yang sebelum ini lantang mengkritik Datuk K Rajagobal kerana gemar membuat eksperimen pemain dan bermain dengan kelab.
Arena - Harian Metro
Oleh Azlan Muhammad Zain
Comments
Post a Comment