Skip to main content

Ucapan dasar “MODEL SUKAN BAHARU” oleh Menteri Belia dan Sukan


Sukan senantiasa mengundang pendapat berbeza-beza. Baik dari segi kepentingannya hinggalah kepada impaknya; baik dari segi pulangan pelaburan hinggalah kepada keutamaan. Namun hanya yang berakal pendek akan menafikan kemampuan sukan. Kemampuan dan keindahannya untuk menggerakkan jiwa dan semangat sesebuah negara dalam pembinaan negara bangsa.

Lihat sahaja bagaimana kejayaan skuad Ragbi Springboks Afrika Selatan yang memenangi Piala Dunia Ragbi dua dekad yang lalu. Negara yang berpecah belah, berjaya disatupadukan. Parut dasar Apartheid hilang seketika dek rahmat kemenangan. Di penghujung spektrum ini duduknya kejatuhan moral negara Brazil bila skuad sambanya gagal menjulang Piala Dunia di hadapan rakyat sendiri.

Bagi suara-suara sumbang pengkritik yang mempersoalkan kepentingan sukan dalam pembangunan negara, jawapan saya mudah sahaja. Carilah mangsa kritikan yang lain. “Go find another victim.” Kerana semua yang ada di dewan ini nescaya berjuang berhabis-habisan agar sukan terus kekal sebagai teras negara tercinta ini.

Kemanisan kejayaan sukan bukan hanya di negara orang. Ingatkah lagi bagaimana kita semua rakyat Malaysia sama-sama di depan televisyen menyaksikan kejayaan skuad badminton negara menjulang Piala Thomas 1992. Nama-nama seperti arwah Mokhtar Dahari dan Soh Chin Aun dalam bola sepak; Tan Sri Mani Jegathesan dan  arwah Isthiaq Mubarak dalam olahraga dan Mirnawan Nawawi dalam sukan hoki bukan hanya menggamit perasaan gentar pihak lawan – jaguh ini jugalah yang membangkitkan perasaan bangga di hati kita semua - beraksi penuh tenaga dalam jersi negara.

Persaingan di kejohanan sukan bukan hanya syok sendiri. Persaingan ini lebih dari pertandingan ego antara negara-negara yang bertanding. Sukan mampu menyatupadukan, termasuk kita rakyat Malaysia tak kira bangsa, umur atau agama dibuktikan lonjakan keriangan rakyat Malaysia segenap bangsa bila kita julang Suzuki Cup enam tahun yang lalu.

Kegemilangan Malaysia dalam sukan kaya rentetan sejarahnya. Sukan Asia tahun 1966, kita tamatkan temasya ranking keempat, ranking yang sama kita capai pada pada temasya Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 32 tahun selepas itu – dihadapan ribuan penyokong sendiri.

Malaysia, sebuah negara kecil di Asia Tenggara dan baru merdeka lewat 50-an telah bertanding di peringkat tertinggi, bersaing di kalangan bekas-bekas penjajahnya, di kalangan negara-negara yang sudah lama jauh kehadapan dari segi ekonomi mahupun sukan – namun kekal tampak gagah, tak mudah mengalah di gelanggang sukan.

Namun pola ini berubah sejak beberapa temasya besar kebelakangan ini. Akhirnya pada tahun lalu, kita disergah dengan siri kegagalan yang menuntut kita untuk melakukan perubahan segera, selaku pemegang taruh sukan di Malaysia.

Kita hanya menang 5 pingat emas pada Sukan Asia 2014, dan 33 pingat keseluruhan sementara pada 2010 kita berupaya merangkul 41 pingat. Ranking kita juga turun jadi nombor 14 berbanding tangga ke-10 pada 2010. Perkara yang sama berlaku pada temasya Sukan Komanwel - kita turun 5 anak tangga kepada tangga ke-12 dengan hanya 19 pingat keseluruhan, berbanding 35 pingat di India 4 tahun sebelum itu.

Ada pihak yang cuba mempertahankan sukan Malaysia terutamanya dengan hujah kejayaan besar tahun 2010. Kejayaan ini kejayaan one-off, kejayaan-kejayaan yang pastinya manis tetapi tidak patut dijadikan kayu pengukur sukan tanah air.

Kesudahnya, apabila pencapaian merudum kebelakangan ini, pihak bertanggungjawab dikritik hebat, diminta letak jawatan, tak kira lah saya sebagai Menteri Belia dan Sukan mahupun MSN, ISN, atlet, jurulatih serta persatuan-persatuan sukan - tatkala masyarakat umum mencari siapa yang boleh dipersalahkan.

Tetapi tamparan hebat ini membuktikan sebuah cinta yang tebal, yang tak mampu dihakis antara rakyat Malaysia dengan sukan. Dada-dada akhbar dipenuhi komen dan kritikan, petanda bagaimana rakyat masih kisah dan ambil peduli - masih mahukan kebertanggungjawaban ke atas sesuatu yang amat dekat di hati mereka.

Atas sebab inilah tindakan drastik akan kita ambil bagi mengharumkan semula nama Malaysia. Ini bukan berpandukan ego kita, penyedap hati tanpa keinginan menebal untuk menjayakannya. Ini juga bukan jalan mudah untuk kita kelihatan sedang melakukan sesuatu. Model baru ini merupakan sebuah anjakan paradigma sebenar yang didorong oleh keinginan rakyat Malaysia dan keinginan kita sebagai penggiat sukan untuk mendengar lagu Negaraku didendangkan sambil Jalur Gemilang dinaikkan di podium tertinggi sukan.

Namun disebalik kesegeraan transformasi yang dicari, perancangannya perlu diperinci. Deras datang dalam kena, kita jangan terburu-buru. Maka pada Oktober tahun lepas, pihak kementerian telah mengadakan pemilihan pakar-pakar luar `untuk melihat dan mengkaji sistem sukan tanah air ini. Setelah pemilihan yang rapi, saya sendiri telah berjumpa dengan Dr. Brian Miller dari WAIS untuk membiayai satu kajian menyeluruh dikendalikan sebuah kumpulan kecil pakar-pakar pengstrukturan sukan antarabangsa.

Ramai yang tertanya-tanya, mengapa perlu pakar dari luar? Jawapannya mudah – kita perlu kajian objektif daripada sebuah pasukan dengan kredibiliti yang tinggi. WAIS iaitu Institut Sukan Australia Barat adalah organisasi yang telah diwujudkan untuk meneraju pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan. Bukan calang-calang orangnya – mereka inilah yang menghasilkan 13 pingat emas dalam 6 Temasya Sukan Olimpik yang terakhir.

Pakar-pakar yang telah membuat kajian di Malaysia terdiri daripada Alan Black, Brian Miller, Phil Borgeaud, Richard Charlesworth dan Roslyn Carbon. Kelima-lima pakar ini mempunyai pengalaman bekerja di Australian Institute of Sports, West Australian Institute of Sports, Hockey Australia, dan pelbagai lagi pasukan sukan profesional.

Metodologi yang diguna pakai juga sistematik dan telah terbukti keberkesanannya. Kajian 11 minggu ini dikendalikan 5 pakar sukan yang telah menemubual lebih 130 pemegang taruh sukan berprestasi tinggi di Malaysia, mendengar rintihan, mencatit keluhan, mencerna pendapat. Pemegang-pemegang taruh ini datang daripada pentadbir, jurulatih, atlet dan bekas atlet, ahli lembaga persatuan, pakar sains sukan, pakar fisioterapi dan pembuat keputusan di kalangannya ada di depan saya pada pagi ini.

Dan setelah laporan audit disiapkan, saya sendiri telah mempengerusikan perbincangan di antara Brian Miller dengan Ketua Pengarah MSN dan ISN untuk sama-sama mendengar sendiri dari Brian Miller. Walaupun pahit memakan hati, malu menelan ego bila pekung dibuka kepada pakar sukan luar negara, jika nawaitunya kita letak dengan betul, kesudahannya akan kita raikan kelak.

Tiada gunanya saya sembunyikan kelemahan-kelemahan yang ada dalam agensi kerajaan sendiri. Lebih molek jika saya kongsikan bersama pagi ini agar boleh dihayati dan dipelajari kita semua.

Untuk Majlis Sukan Negara, antara perkara yang dibangkitkan adalah usaha sesi perancangan periodisasi tahunan yang dijalankan agensi ini tampak kelihatan seperti melepaskan batuk di tangga. Selain itu, isu kemudahan asrama dan makanan yang tidak mencapai tahap yang memuaskan juga kerap kali dibincangkan semasa temuduga audit ini.

Bagi Institut Sukan Negara pula, walaupun usaha transformasi sedang dilaksanakan, institut ini agak sarat dengan pegawai pengurusan dan bukannya pegawai pakar sains sukan yang mahir dengan isu-isu teknikal. Selain itu, sistem perancangan pembangunan atlet juga tidak spesifik di mana tiada pembahagian kriteria menjurus kepada kesukaran untuk menyalurkan sumber kepada atlet-atlet yang mampu menggapai pingat emas untuk negara.

Namun di sebalik kelemahan spesifik kepada organisasi,  terdapat tiga kelemahan menyeluruh merentasi organisasi. Tiga kelemahan besar yang walaupun tampak ‘cliché’ dan umum, sebenarnya telah lama menjadi penghalang Malaysia mencapai potensi sukannya yang cukup besar.

Yang pertama adalah tiada satu titik persamaan dari segi aspirasi sukan yang ingin dicapai oleh para pemegang taruh sukan Malaysia. Daripada lebih 130 yang ditemuduga, hanya segelintir sahaja yang mampu menerangkan apakah visi dan misi sektor sukan di negara ini. Malahan, lebih sedikit daripada itu menggunakan perkataan rakan kongsi atau usaha sama ketika ditemuduga.

Perkara ini secara tidak langsung mewujudkan sebuah vakum atau kekosongan yang telah diisi oleh cita-cita politik dan kepentingan peribadi pemegang taruh sukan di Malaysia yang tampak jelas merupakan endemik di dalam sistem sukan tanah air kita ini.

Yang kedua adalah bagaimana tiada ‘accountability’ atau kebertanggungjawaban yang jelas bagi mana-mana isu berkaitan sukan menyebabkan ruang penambahbaikan spesifik tidak dapat digarap bagi pemegang taruh bertanggungjawab. Setiap agensi dan pemegang taruh dilihat berkerja ke arah matlamat yang berlainan dan kadang-kadang bercanggah walhal dalam usaha mencapai kecemerlangan sukan yang rumit prosesnya, tanggungjawab dan authority perlu jelas lagi terang.

Hal ini menyebabkan gerak kerja yang berasingan di dalam silo masing-masing, di mana setiap pemegang taruh merasakan mereka berkerja sendirian dalam usaha meningkatkan prestasi atlet kendalian masing-masing. Ini juga menyebabkan laluan perkembangan atlet itu tidak jelas dan boleh dimanipulasikan sesetengah pihak.

Yang terakhir adalah sikap alah kepada perubahan. Semua pemegang taruh, termasuk di bawah kementerian sendiri tampak amat takut dan enggan melalui perubahan sekaligus menghalang apa-apa proses penambahbaikan yang hendak dilaksanakan.

Kesemua ini mencernakan sebuah kelemahan dalam satu sistem yang kompleks iaitu ‘process losses’. Terma process loss merujuk kepada faktor yang boleh menjejaskan prestasi atlet seperti persekitaran, kejurulatihan, pemakanan serta nutrisi dan pelbagai lagi. Ia  menggambarkan secara jelas bagaimana kelemahan-kelemahan yang saya nyatakan tadi menyebabkan potensi-potensi atlet Malaysia tidak mampu diserlahkan secara optimum, sekaligus meletakkan Malaysia di belakang negara-negara lain yang munkin potensi lebih rendah.

Dalam mana-mana impak dan kejayaan sukan sesebuah negara, ianya bergantung kepada formula di mana pencapaian sebenar seseorang atlet adalah sama dengan potensi atlet tersebut, ditolak dengan sebarang ‘process loss’ yang berlaku sebelum kejohanan.

Maka jika dilihat, kejayaan sesebuah negara itu bergantung kepada kejayaan meminimumkan `process loss’, sekaligus mengoptimumkan level potensi atlet-atlet mereka. Lihat sahaja pada Finland yang penduduknya hanya satu per enam daripada Malaysia, tetapi telah memenangi 101 pingat emas dalam 24 kejohanan Olimpik.

Permasalahan yang baru dikemukakan mungkin nampak sungguh kompleks, penuh sarat dengan kelemahan yang pelbagai. Jawapannya juga tidak ringkas. Bukannya mudah. Jawapannya bukan sebuah ‘silver bullet’ yang dapat merungkai kerumitan situasi, menukar pencapaian sukan negara semalaman tanpa usaha keras, kerjasama utuh dan pengorbanan pemegang-pemegang taruh yang terlibat.

Namun untuk menjayakan harapan negara ini, segala gunung yang perlu ditawan kita daki bersama, apa jenis lautan yang perlu diredah, kita harungi semua. Di atas kepercayaan bahawa kita semua, pemegang taruh sukan di dalam dewan serba indah ini sanggup berkorban demi sukan negara, saya kini akan membentangkan model sukan baru Malaysia.

Ada eloknya saya mulakan dengan pengstrukturan semula MSN dan ISN. Objektif utamanya amat terang lagi jelas, supaya tembok-tembok pemisah di antara dua agensi ini kita runtuhkan. Kita perlu memastikan kedua-dua agensi ini tidak berkerja dalam silo masing-masing, masing-masing dengan halatuju dan haluan sendiri walaupun visi asasnya sama.

Selama beberapa minggu sebelum kita berkumpul pagi ini, kedua-dua pengurusan tertinggi MSN dan ISN telah duduk berbincang  dalam mencari kesepakatan dan titik persamaan dalam struktur baru ini. Persetujuan dan kompromi, kebanyakkan masanya tidak mudah dicapai. Sesetengah perkara hilang dari kawalan. Sesetengah tanggungjawab baru perlu dipikul.  

Namun apabila nawaitunya betul, apabila kebaikan negara diletak di atas segala-galanya, tiada siapa yang rugi dan yang untungnya tanahair tercinta kita ini. Dan Alhamdulillah, kita telah temui titik persamaan yang dicari.

Yang pertamanya adalah jaguh Malaysia yang beraksi sendiri di gelanggang – yang dipanggil hero jika berjaya, failure jika gagal. Kita perlu memastikan kelestarian pembangunan atlet dari umur semuda 7 tahun sehinggalah mereka mencipta nama di persada dunia. Apa sahaja ketidaksinambungan bakal merencat pembangunan bakal jaguh kita, menyumbang kepada process loss sekaligus membazirkan potensi sedia ada mereka.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Kerjasama Kementerian Pendidikan  Malaysia kekal kritikal dalam melentur bakal atlet kita daripada usia setahun jagung. Program pengenalan bakat  atau (MyTID) yang bermula seawal darjah 1 akan dikendalikan oleh KPM dengan kepakaran dan sokongan teknikal ISN sebelum atlet berpotensi dikenalpasti melalui proses saringan MyTID. Atlet-atlet muda ini akan diasuh bakatnya, digilap kemahiran asasnya melalui program latihan multilateral di sekolah-sekolah terlibat sehingga berumur 12 tahun.

KPM juga akan mengendalikan atlet-atlet di atas umur 12 tahun dimana atlet-atlet ini akan diasuh bakatnya melalui program pengkhususan bakat di pusat-pusat dibawah kendalian MSN dan Majlis Sukan Negeri-Negeri. Proses ini akan diteruskan untuk melatih atlet-atlet  pelapis negara yang bakal mewakili negara terutamanya di Sukan Sea.

Inilah simbol bagaimana MSN akan kembali kepada fungsi asasnya sebagai penyelaras pembangunan atlet, menjalin hubungan, merangka kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan dengan semua agensi yang lain demi kemaslahatan atlet-atlet Malaysia. MSN juga bertanggungjawab bagi memastikan ada kesinambungan di antara atlet-atlet yang bertanding di SUKMA terus ke Sukan SEA, temasya yang bakal menjadi medan pendedahan dan pengalaman di bawah struktur baru ini.

Kesinambungan yang dijana MSN amat penting bagi menyediakan satu ‘pool’ atlet berkualiti untuk digilap ke peringkat yang tertinggi. Di peringkat tertinggi ini, setiap perincian akan membawa makna yang besar. Nasihat seringkas mana sekalipun mampu membezakan pingat perak dengan kilauan emas. Ini yang kita panggil ‘Marginal Gains’.

‘Marginal gains’ menidakkan satu perkara – di mana ‘the whole is not better than the sum of its parts’. Berbasikal sebagai contoh, apa-apa penambahbaikan, rekabentuk helmet misalnya, walaupun hanya 1% akan memberikan impak lebih dari itu. Secara umumnya, ‘its parts’ disini melingkumi cara atlet tidur, cuci tangan dan kopi yang mereka minum -semua sekali berperanan dalam memaksimumkan potensi mereka.

Kita hanya akan ambil atlet yang terbaik untuk menyertai Program Podium – sebuah program yang akan dirangka, diperinci dan dilaksanakan oleh ISN. Tiada kompromi, tiada rayuan, tiada alasan. Kerana ganjarannya lumayan, tanggungjawabnya berat dan sokongan yang akan diberikan merupakan yang terbaik mampu dicana bumi bertuah kita ini. Atlet-atlet terpilih ini akan dibantu dengan rapi, dari segi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka spesifik untuk setiap atlet dan kumpulan.

Tugasannya hanya satu – menyerlahkan persembahan terbaik peribadi di peringkat tertinggi dalam dunia sukan antarabangsa.

Dalam merencana atlet-atlet yang berkualiti tinggi, kejurulatihan juga perlu dipertingkat kualitinya seiring senada dengan pembangunan atlet. Kejurulatihan bukan hanya dari segi pemilihan malah turut melibatkan pembangunan, modul sokongan dan juga lantikan serta pengurusan.

Ke arah ini, perlu ada anjakan paradigma bagi sektor sukan negara yang selama ini memandang sains sukan sebagai bantuan sampingan, bukannya elemen utama dalam pencapaian dan persembahan. Perkara ini wajib diubah. Perubahannya juga perlu menyeluruh melibatkan mentaliti atlet dan persatuan kerana  hanya dengan sains sukan sebagai elemen utama, kita mampu bersaing di peringkat yang paling tinggi.

Kita bakal melihat perubahan yang besar dimana Akademi Kejurulatihan Kebangsaan atau AKK akan dikendalikan oleh ISN.  Modul latihannya akan diperhebat, pembangunan jurulatihnya lebih spesifik serta komprehensif berpaksikan amalan sains sukan yang terbaru seiring dengan kepentingan elemen ini.

Pengurusan jurulatih ataupun hire/fire bagi setiap fasa pembangunan atlet masih di dalam bidang kuasa agensi masing-masing dengan syarat semua jurulatih tidak kira di bawah kendalian mana-mana pihak perlu mendapat pentauliahan Akademi ini dan dikawalselia oleh ISN.

Antara perkara-perkara lain yang melalui pengstrukturan adalah di mana bahagian pengurusan acara akan dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan. Tanggungjawab pengurusan acara yang sebelum ini dilaksanakan Majlis Sukan Negara akan diserahkan kepada kementerian supaya MSN dapat memberi fokus kepada penyediaan atlet untuk bertanding di kejohanan-kejohanan yang akan dianjurkan KBS.

Secara keseluruhannya, inilah pendekatan baru yang akan kita ambil di mana pembangunan atlet berprestasi tinggi boleh dibahagikan kepada dua kumpulan yakni pengurusan program yang dikendalikan MSN dan pengurusan prestasi yang akan dikendalikan ISN. Namun dinamiknya perlu kekal utuh jika tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Dalam mencapai kegemilangan sukan, elemen atlet, jurulatih, fasiliti dan sains sukan adalah elemen yang perlu disokong oleh pentadbiran yang baik. Maka yang demikian, saya akan mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan sendiri menyelaraskan sendiri pengstrukturan baru ini supaya segala lompong atau pertindihan yang mungkin berlaku dapat dielakkan.

Model baharu MSN dan ISN ini, manisnya bukan untuk agensi ini sahaja, manisnya juga untuk mengoptimumkan hubungan mereka dengan persatuan-persatuan sukan.

Berdirinya saya di depan anda hari ini dengan satu lagi nawaitu lain, nawaitu yang sudah lama saya simpan, terbuku di hati. Nawaitu untuk mengajak kita semua, sebagai ketua persatuan-persatuan sukan untuk sama-sama memainkan peranan masing masing – seiring dalam bergerak, senada dalam bersuara – demi melunaskan tanggungjawab kita kepada negara.

Persatuan sukan juga menjadi saluran kritikan peminat sukan tanah air, sama seperti menteri, kementerian dan agensi-agensi. Di kaca mata umum, kebanyakkan persatuan bukan hanya gagal kebelakangan ini namun peritnya bila dianggap tiada keupayaan lagi untuk mengembalikan kegemilangan sukan.

Namun saya yakin kita boleh. Persatuan sukan Malaysia bukanlah semata-mata sebuah platform mengejar kekayaan dan populariti, mengabai kebajikan dan ‘responsibility’. Sejarah mengajar kita bagaimana Allahyarham Tan Sri Ghazali Shafie menaikkan martabat KOAM dengan atlet-atlet seperti Datuk Marina Chin dan Datuk Zaiton Othman. Jika mahu contoh dari luar sana, Union Cycliste International (UCI) dipandang tinggi hasil usaha keras membawa sukan berbasikal keluar dari cemuhan penggunaan dadah.

Menuju ke hadapan, muhasabah diri perlu dilaksana – melihat ke dalam persatuan sendiri untuk ruangan yang boleh diperbaiki. Antara perkara yang disentuh laporan ini adalah kekurangan pegawai sepenuh masa dalam persatuan-persatuan sukan. Bila pegawai tak cukup, operasi hanya cukup makan, hanya ikut waktu pejabat, tatkala gaya hidup dan jadual latihan atlet-atlet kita jauh lari dari itu.

Mitos yang telah lama diuar-uarkan- yakni wujudnya konflik dan permainan politik dalam persatuan-persatuan sukan dibentangkan semua dalam laporan audit ini disamping kecuaian dalam menggunakan bantuan kewangan yang disalur.

Anggaplah senarai ringkas yang disebut di atas satu tiupan semangat menuju ke arah kebertanggungjawaban yang lebih dihormati. Perubahan pertama yang perlu dilaksanakan adalah dari segi tadbir urus dan persepsi awam. Tadbir urus yang lebih berkesan, dengan proses dalaman yang telus dapat mengurangkan gangguan proses – maka sumber sedia ada boleh fokus kepada pembangunan dan pengurusan atlet.

Persepsi kadang kala sukar dikikis, tapi dengan istiqamah dan penambahbaikan tadbir urus yang menyeluruh, nescaya rakyat Malaysia akan kembali melihat persatuan sebagai penggerak utama kemajuan sukan Malaysia.

Perlembagaan juga perlu dikemas agar seiring dengan kehendak badan pentadbiran antarabangsa. Ini bukan hanya untuk di peringkat induk tetapi juga untuk badan-badan gabungan yang terletak di bawah tanggungjawab persatuan-persatuan.

Akta Pembangunan Sukan 1997 juga ada lompongnya, dan perlu dikemas kini terutamanya yang melibatkan Pesuruhjaya Sukan agar pentadbiran dan pengurusan persatuan-persatuan sukan kita mengikut amalan terbaik antarabangsa. Dan bagi menggalakkan persatuan sukan supaya mengikut  amalan terbaik antarabangsa, saya akan meningkatkan lagi insentif kewangan daripada KBS untuk persatuan-persatuan yang dilaporkan mempunyai tadbir urus cemerlang bertaraf antarabangsa serta yang ikhlas dan konsisten berkerjasama dengan MSN untuk merangka pelan pembangunan atlet-atlet negara di peringkat negeri mahupun daerah.

Dan yang terakhir dan paling penting adalah forward thinking atau pemikiran kehadapan yang strategik. Setiap persatuan sukan perlu mempunyai pelan pembangunan yang strategik lagi komprehensif baik untuk generasi atlet sekarang, baik untuk generasi atlet akan datang.

Dan nyatakan saja bantuan yang diperlukan dari MSN mahupun ISN. Kita pastikan MSN dan ISN sentiasa bersedia untuk membantu persatuan-persatuan ke arah perancangan jangka pendek dan panjang demi kebaikan sukan dan atlet masing-masing.

Ini bukan perkara yang baru, lagilah bukan aneh. Satu pelan yang kini digerakkan melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara kini sedang dilaksanakan hasil kerjasama Persatuan Bola Sepak dengan MSN, KPM dan ISN. Esok hari juga, tak sampai seminggu selepas kejayaan manis pembakar semangat skuad sepaktakraw negara ke atas Thailand, akan dilangsungkan bengkel pembangunan Sepak Takraw hasil kerjasama erat MSN dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia.

Saya juga ingin mengajak persatuan Akuatik, Badminton, Olahraga dan Berbasikal untuk sama-sama menyahut seruan YAB DS Perdana Menteri pada belanjawan Oktober lalu. Mari kita duduk semeja, berkongsi pengalaman, menyelesaikan pertikaian, mencapai sepakat tentang arah tuju sukan-sukan ini.

Tiada makna segala senarai yang saya sebutkan tadi, jika isinya tidak diperinci dan rancangannya tidak diperhalusi. Untuk melaksanakan segala transformasi yang telah saya umumkan, sebuah taskforce akan diwujudkan 1 Mac ini untuk merancang, memperinci serta membukukan sebuah blueprint dalam tempoh 100 hari. Blueprint ini juga akan merangka pembangunan atlet-atlet paralimpik yang telah banyak mengharumkan nama negara di persada dunia.

Selepas itu, saya akan mewujudkan satu agensi pemantau dinamakan ‘Command & Control’ dipengerusikan oleh saya sendiri bagi memastikan pelaksanaan dan penyelarasan blueprint ini ke arah mencapai aspirasi sukan negara.  Command & Control akan bermesyuarat setiap 3 bulan bagi mengawasi dengan rapat apa sahaja cacat cela, ruang penambahbaikan atau pertukaran taktik yang perlu dilaksanakan.

Dari segi impaknya, Sukan Sea 2015 terlalu lewat untuk kita saksikan keberkesanan anjakan paradigma ini. Namun sasaran model baru ini, sasaran kita bersama adalah meletakkan Malaysia di kedudukan ranking 10 terbaik dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia akan datang. Bagi Sukan Sea pula, kita menyasarkan kemenangan 50% peratus pingat daripada keseluruhan acara yang kita sertai – sekaligus memberi penekanan kepada pendedahan atlet.

Di dalam sebuah pasukan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Pabila kalah, tak kira 0-1 mahupun 4-5, herdikan dan malu dirasai bersama. Pabila menang, tak kira 1-0 atas pertahanan yang kental, atau 5-4 atas serangan yang efisyen, pujian dan ganjaran dinikmati semua.

Begitu jugalah dengan kita semua. Kita semua satu pasukan. We are a team. Tersungkurnya persatuan sukan, maka tersungkurlah wibawa Majlis Sukan Negara. Jatuhnya sains sukan kita maka jatuhlah atlet-atlet dan jurulatih-jurulatih kita. Gagalnya persatuan atau Majlis Sukan atau Institut Sukan, maka gagallah saya.

Maka inilah waktu kita, menggenggam tangan merapatkan barisan untuk sama-sama melaksana apa sahaja yang diperkata berdekad lepas, mencoret apa saja yang patut dicoret bertahun dahulu. Kerana jika berjayanya Majlis Sukan, jika berjayanya Institut Sukan, jika berjayanya persatuan-persatuan sukan – maka berjayalah rakyat Malaysia yang sudah lama mengimpikan kecemerlangan sukan tanah air. Majulah sukan, demi negara.-12/2/2015

TEKS INI DIBACAKAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KHAIRY JAMALUDDIN DI MAJLIS SUKAN NEGARA BUKIT JALIL PAGI KHAMIS

YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=OZc9Le9SV2I

Comments

Popular posts from this blog

Wildcard gymnast Wan Yin makes it to the all-around final

PETALING JAYA: Rhythmic gymnast Lee Wan Nin, who made it through the back door for the Youth Olympic Games, served a pleasant surprise for Malaysia by qualifying for the individual all-around final in Singapore yesterday. The 15-year-old wildcard entry was placed fifth in the qualification rounds, chalking up scores of 23.800 (rope), 24.075 (hoop), 24.100 (ball) and 24.425 (clubs) for a total of 96.400 to make the top-12 final. German Marggrander Berezko and Bulgarian Kisse Anastaslya are tied in third spot on 97.825. Russian Alexandra Merkulova topped the qualification on 103.425 ahead of Arina Charopa of Belarus (102.225). There is also the group all-around competition but Malaysia are not represented. In diving, Ooi Tze Liang justified his inclusion in the Commonwealth Games and Asiad squad by qualifying for a second final. Tze Liang, who was placed seventh in the final of the boys’ 3m springboard last Sunday, finished sixth in the preliminary rounds of he boys’ 10m

Khairy To Deliberate National Riders' Proposals Before Follow-up

KUALA LUMPUR, Jan 21 (Bernama) -- Youth and Sports Minister Khairy Jamaluddin said he would be looking at all the problems and suggestions raised by the national highway cycling racers before taking any follow-up actions. Khairy said he could not arbitrarily make decisions based on the closed-door meeting with the riders today without obtaining the views of other parties including the Malaysia National Cycling Federation (MNCF). "During the meeting this morning, some of the professional cyclists have voiced their views to improve the quality of national highway cycling programme. "I told them the matter will be discussed at a forum," he said. Khairy was speaking to reporters after attending a presentation of sponsorship for the Malay College Rugby Premier Seven-A-Side Championships in Kuala Kangsar here Tuesday. Khairy however said he needed to focus on the MNCF accounts audit which received an annual allocation of RM1.5 million from the min

Malaysia To Send Two Junior Cyclists To World Junior Championship In Italy

KUALA LUMPUR, June 29 (Bernama) -- Two national junior cyclists have been picked to represent the country at the World Junior Track Cycling Championships in Montichiari, Italy in August. National back up squad manager Azrain Mohamed Yusof said Mohd Arfy Qhairant Amran and Mohd Fattah Amri Zaid were picked for the championships based on their performances throughout this year. "The championships is part of efforts to expose young riders at international competitions, so that they can be better prepared for the future," he told Bernama when contacted here Tuesday. Azrain said since they would be basically competing in the championship for exposure, there would be no specific target for Mohd Arfy and Mohd Fattah Amri, but if they return with medals, it would be a bonus. "It is however, not their first overseas competition and I believe they will not encounter any problems to adapt themselves to the conditions in Italy," he said. Mohd Arfy and Mohd Fattah w