Kuala Lumpur: Jaguh olahraga 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid sudah boleh melupakan kariernya sebagai atlet selepas dilaporkan tidak lagi mampu untuk berlari kerana kecederaan. Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2006 itu sudah menarik diri daripada Kejohanan Terbuka Malaysia bermula hari ini. Menduduki tempat kelima di Sukan Asia Guangzhou, China pada 2010, Karim berkata, Seela mungkin terpaksa melupakan kariernya berikutan kecederaan lama yang masih menghantuinya. “Memang Seela ada memaklumkan kepada saya untuk kembali berlari, tetapi masih terasa sakit. “Sekarang ini dia akan memberi tumpuan kepada tugas barunya sebagai jurulatih. Bagaimanapun kita tidak menghalang untuk dia kembali jika dia mampu melakukannya,” katanya.