KEJAYAAN demi kejayaan yang dicipta atlet negara dalam pelbagai acara sukan telah banyak menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang tahun 2012. Tidak kira pada peringkat mana sekali pun, atlet negara telah membuktikan kemampuan mereka bersaing bukan sahaja untuk kepuasan peribadi tetapi yang lebih penting bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Mewarnai pencapaian yang membanggakan rakyat Malaysia ialah pungutan satu pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London menerusi Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Pandelela Rinong Pamg (terjun). Biarpun tidak banyak kilauan pingat diraih atau sasaran pingat emas pertama Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu tidak kesampaian, pencapaian tersebut adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan temasya sebelum ini. Ini kerana, pada temasya Olimpik empat tahun lepas di Beijing, China, Malaysia hanya meraih satu perak dan meskipun kejayaan kali ini menyamai pencapaian kontinjen negara pada edisi 19...