Kapten pasukan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) dan rakan sejawatannya dari Kelantan, Indra Putra Mahyuddin sudah bersedia untuk bertarung habis-habisan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin KUALA LUMPUR - Kelantan berasa mereka telah matang dengan pengajaran musim lalu manakala Negeri Sembilan percaya seluruh pemainnya mampu menampung kelemahan jentera serangan apabila kedua-duanya mengulangi perhitungan akhir bola sepak Piala Malaysia, malam ini. Edisi ke-44 di Stadium Nasional, Bukit Jalil turut membuka peluang terbaik Wira Merah menghadiahkan Sultan Muhammed V atas pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan. Sedangkan Si Rusa mengidam gelaran berganda musim ini selepas menjulang Piala FA. Inilah kemaraan keempat Kelantan ke perlawanan akhir Piala Malaysia (termasuk Piala Malaya) selepas 1955, 1970 dan tahun lalu yang kesemuanya dihampakan Singapura, Perak dan Negeri Sembila...